Friday, May 11, 2012

PERANAN DAN SUMBANGAN GOLONGAN WARTAWAN

Huraikan peranan dan sumbangan golongan wartawan dalam gerakan kesedaran di Tanah Melayu sehingga Perang Dunia Kedua.

A. Pendahuluan ( 4 markah )

i. Kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu tidak jauh bezanya daripada negara-negara lain di Asia. Penduduk di Tanah Melayu ingin membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan British yang telah lama bertapak di sini. Sukar dipastikan sejak bila semangat kebangsaan mula tumbuh di Tanah Melayu tetapi pejuangan menentang penjajah bermula sejak British mula campur tangan di Tanah Melayu.

ii. Kebangkitan gerakan kesedaran di Tanah Melayu dipengaruhi oleh banyak faktor sama ada faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran yang membantu kebangkitan gerakan kesedaran di Tanah Melayu ialah gerakan Islah di Mesir, Gerakan Turki Muda, nasionalisme China dan India dan faktor dalaman seperti perkembangan pendidikan, paranan agama Islam, dasar British, peranan bidang kewartawanan dan lain-lain lagi

iii. Golongan wartawan memainkan peranan penting dalam merangsang gerakan

nasionalisme di Tanah Melayu. Mereka berfungsi sebagai pemberi maklumat, penyebar berita dan menyedarkan rakyat tempatan. Keadaan ini amat jelas sebelum Perang Dunia Kedua apabila golongan wartawan di Tanah Melayu bergerak dengan menggunakan akhbar menyedarkan rakyat untuk menentang British.

B. Peranan dan sumbangan golongan wartawan dalam gerakan kesedaran (20 markah )

i. Sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an terdapat 80 buah akhbar dan majalah yang diterbitkan di Tanah Melayu. Antara akhbar dan majalah yang diterbitkan ialah Majlis, Warta Malaya, Idaran Zaman, al-Imam, Lembaga Malaya, Utusan Melayu, Majalah Guru dan Warta Negara.

ii. Antara golongan wartawan yang memainkan peranan penting dalam gerakan kesedaran ini ialah Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.

iii. Golongan wartawan bukan hanya menyiarkan berita dan laporan sahaja, tetapi berperanan menyalurkan pandangan, menambahkan ilmu pengetahuan dan menyampaikan mesej kepada orang Melayu untuk mencapai kemajuan dalam bidang kehidupan.

iv. Walaupun wartawan mempunyai peranan dan perjuangan tertentu tetapi kandungan tidak banyak berbeza. Sebelum tahun 1930-an tumpuan wartawan adalah kepada berita-berita dunia, masalah sosial dan agama. Laporan perjuangan golongan nasionalis di luar negara menuntut kemerdekaan dan membangkitkan kesedaran penduduk tempatan menentang British.

v. Syed Syeikh Ahmad al-Hadi telah mengeluarkan akhbar Al-Ikhwan di Pulau Pinang pada tahun 1926. Akhbar ini memberi tumpuan untuk menyebarkan pembaharuan agama, menimbulkan kesedaran sosial dan politik kepada orang Melayu. Tujuan penerbitannya ialah untuk membawa pembaharuan agama kepada masyarakat Melayu serta menimbulkan kesedaran politik dan sosial kepada mereka. Perkara-perkara lain yang dibincangkan ialah emansipasi wanita dan kepentingan pelajaran Inggeris di kalangan orang Melayu dengan tujuan untuk meningkatkan taraf sosial orang Melayu melalui bidang pendidikan.

vi. Pada tahun 1928, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi telah menerbitkan akhbar Saudara. Akhbar ini cenderung memperjuangkan isu-su agama dan menjadi saluran menyebarkan idea-idea pembaharuan Islam Kaum Muda. Pada peringkat awal akhbar ini diterbitkan pada setiap hari Sabtu tetapi apabila telah memiliki penerbitan sendiri, iaitu Jelutong Press di Pulau Pinang, akhbar ini diterbitkan dua kali seminggu.

vii. Saudara juga cenderung menerbitkan banyak rencana tentang Islam dan keadaan sosioekonomi orang Melayu. Pengarang pertamanya ialah Mohd Yunos bin Abdul Hamid dan dibantu oleh Abdul Rahim Kajai sebagai Penolong Pengarang. Akhbar ini telah memainkan peranan penting sebagai wadah untuk menyalurkan idea-idea reformis Islam dari Kaum Muda.

viii. Akhbar ini telah menjadi pengkritik hebat terhadap cara hidup orang Melayu yang enggan menerima pembaharuan dalam agama dan sosial. Selain isu-isu agama ia juga menyiarkan pelbagai rencana tentang ekonomi, politik, sejarah dan pelajaran. Menjelang tahun 1930-an akhbar ini telah memperlihatkan kesedaran politik yang jelas apabila ia mula menyeru umat Islam terutama orang Melayu supaya berusaha menjaga negeri agar tidak dikuasai oleh bangsa asing.

ix. Pada tahun 1934, akhbar Saudara memulakan ruangan baru yang dinamakan Halaman Sahabat Pena untuk menimbulkan minat membaca, mengembangkan persuratan Melayu dan bertukar-tukar pendapat di kalangan pembaca-pembaca Melayu. Ruangan Halaman Sahabat Pena telah ditukar kepada Persaudaraan sahabat Pena setelah mendapat sambutan yang menggalakkan. Pada tahun 1935 ruangan ini diawasi dan dikawal rapi pihak British. Menerusi pengawasan pasukan Cawangan Khas Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, pihak British mula mengintip dan memerhatikan kegiatan ruangan ini dan semua tokoh yang terlibat.

x. Pada tahun 1930, akhbar Warta Malaya telah diterbitkan di Singapura. Pada mulanya dicetak oleh Anglo Asiatic Press yang dimilki oleh Syed Hussein Ali al Sagoff bersama abangnya Syed Abdullah dan sepupunya Sharifah Shaikah. Akhbar ini merupakan akhbar harian Melayu terbesar setanding dengan akhbar-akhbar bangsa asing di Tanah Melayu.

xi. Pada tahun 1935, Warta Malaya membuka cawangannya di Kuala Lumpur dan mengeluarkan akhbar mingguannnya iaitu Warta Ahad, diikuti oleh Warta Jenaka yang merupakan sebuah majalah mingguan yang diterbitkan setiap hari Isnin. Pengarang pertamanya ialah Dato Onn bin Jaafar. Warta Malaya banyak menyiarkan rencana pengarangnya yang menyentuh keadaan sosioekonomi orang Melayu, soal pelajaran tinggi orang Melayu, dasar pemusatan kuasa British dan tindak tanduk golongan imigran terutama tuntutan mereka untuk mendapat hak yang lebih. Selepas Dato Onn meninggalkan Warta Malaya, ia digantikan oleh Sayid Alwi dan beliau meneruskan perjuangan Dato Onn.

xii. Warta Malaya sering mengemukakan kritikan mereka yang bersifat pro-Melayu dan anti-British tetapi akhbar itu tidak bersifat radikal terhadap British. Akhbar ini sering mendesak British supaya memberikan banyak jawatan pentadbir kanan kepada orang Melayu walaupun mereka sedar bahawa orang Melayu yang berpendidikan dan layak untuk jawatan itu adalah sedikit.

xiii. Pada tahun 1931, akhbar Majlis telah diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Mohamad Amin bin Hj Mohd Yusof pemilik Selangor Press. Ia merupakan akhbar kebangsaan pertama. Abdul Rahim Kajai telah dilantik menjadi Ketua Pengarang Maljis yang pertama. Beliau adalah seorang peminat politik dan rencana yang disiarkan banyak berkisar kepada isu-isu politik. Pada masa ini Majlis lebih menjurus kepada isu-isu berkaitan dengan sosial dan politik. Akhbar Majlis merupakan akhbar Melayu yang pertama menyediakan ruangan membicarakan politik secara meluas dan membincangkan hak-hak orang Melayu.

xiv. Penerbitannya juga bertujuan menyatukan orang Melayu bagi mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Selain politik ia juga banyak menerbitkan rencana tentang perpaduan bangsa, kesedaran dan kebangkitan untuk mengatasi kemunduran terutamanya mengenai hak dan kedudukan orang Melayu yang perlu dilindungi dan tuntutan orang asing untuk hak dan kedudukan yang sama seperti orang Melayu tidak seharusnya diterima.

xv. Utusan Melayu diterbitkan pada 29 Mei 1939. Akhbar ini merupakan akhbar pertama yang dimiliki oleh syarikat orang Melayu sendiri kerana sebelumnya syarikat-syarikat akhbar banyak dimiliki oleh orang Arab. Pengarang utamanya ialah Abdul Rahim Kajai. Akhbar ini melambangkan kegigihan orang Melayu.

xvi. Akhbar ini memperjuangkan semangat kebangsaan dan kegiatan orang Melayu dalam politik. Menekankan kepentingan pendidikan untuk mencapai kemajuan. Salah seorang sidang pengarangnya ialah Ishak Hj Muhammad yang banyak menyeru masyarakat Melayu supaya bersatu. Syarikat ini turut menerbitkan Utusan Zaman dan Mastika.

A. KESIMPULAN ( 2 M )

i. Peranan wartawan dalam membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat Melayu Tanah Melayu memang tidak dapat dinafikan. Penulis-penulis yang aktif mengkritik tentang kemunduran orang Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi telah dipandang serius. Tulisan-tulisan mereka menjadi penggalak kepada orang Melayu untuk menjaga hak dan bangkit menentang penjajah.

ii. Rata-rata isu utama yang menjadi persoalan berkaitan dengan seruan untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, masalah kemunduran orang Melayu,hak-hak istemewa orang Melayu,kepentingan ekonomi dan pendidikan yang bernilai komersil tidak ketinggalan perjuangan emansipasi wanita.

iii. Perjuangan wartawan semakin nyata dengan penerbitan Utusan Melayu terutamanya selepas perang dengan isu Malayan Union.

No comments:

Post a Comment