Friday, May 11, 2012

LANGKAH-LANGKAH PEMODENAN DI JEPUN DAN THAILAND/SIAM

Huraikan langkah-langkah permodenan yang dijalankan oleh Maharaja Meiji (1868-1912) dan Raja Chulalongkorn (1868-1910) di Jepun dan Siam.

A. PENDAHULUAN (3 markah)

Maharaja Meiji yang memerintah Jepun pada Januari 1868 merupakan penggerak pemodenan yang utama dan zamannya dikenali sebagai Restorasi Meiji atau Zaman Peralihan setelah berjaya menamatkan kekuasaan Kesyogunan Tokugawa. Meiji menggunakan ilmu pengetahuan Barat untuk memodenkan negaranya. Manakala Raja Chulalongkorn yang menaiki takhta tahun 1868 setelah kematian bapanya Mongkut telah meneruskan dasar pemodenan Siam yang diasaskan oleh Mongkut. Chulalongkorn dikatakan Bapa Pemodenan sebenar kerana Siam benar-benar muncul sebagai sebuah negara yang moden.

B. ISI-ISI (20 markah)

1. Pentadbiran

Maharaja Meiji membentuk piagam yang menjadi panduan kepada pemimpin, pegawai-pegawai dan rakyat Jepun dalam menjalankan tugas. Pada April 1868, baginda menandatangani piagam tersebut yang mengandungi 5 perkara iaitu:

a) Dewan Perbahasan ditubuhkan bagi menerimarespons orang ramai mengenai undang-undang yang akan dilaksanakan.

b) Kakitangan awam diseru bersatu dalam semua dasar dan rancangan.

c) Semua rakyat digalakkan menggunakan hak dan minat masing-masing.

d) Segala adat lama yang tidak bermanfaat dihapuskan.

e) Jepun dikehendaki mengambil semua pengetahuan dan kemahiran dari dunia luar.

Meiji memindahkan pusat pentadbiran dari Kyoto ke Yedo dan menukar nama Yedo kepada Tokyo (Ibu Kota Timur).

Baginda juga mewujudkan sistem pentadbiran berpusat (di bawah kekuasaan maharaja) dengan menamatkan system feudal. Wilayah-wilayah kerkuasaan pembesar diambil semula oleh Meiji dan diberi gaji tetap. Wilayah-wilayah dibahagikan kepada beberapa daerah kecil (Ken) dengan menamatkan fungsi daimyo sebagai pembesar. Samurai yang tidak mempunyai jawatan dalam perkhidmatan awam diberi galakan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Meiji juga telah membentuk sebuah parlimen atau Diet tahun 1881 dengan menerima pakai perlembagaan Jerman sebagai acuannya. Majlis Penasihat Raja ditubuhkan dengan keanggotaan golongan bangsawan dan pembesar istana. Pada tahun 1889 perlembagaan baru yang dikenali sebagai Undang-undang Dasar Baru ditubuhkan dan menjadi perlembagaan rasmi Jepun tahun 1889. Diet yang terdiri daripada Dewan Agung dan dewan perwakilan Rakyat ditubuhkan tahun 1890.

Raja Chulalongkorn pula meneruskan dasar ayahnya Mongkut yang mengambil kepakaran orang Barat dalam pentadbirannya. Antaranya ialah:

a) Rolin Jacquemins pakar Jerman berkhidmat sebagai Penasihat Amnya.

b) Pakar Inggeris sebagai penasihat dalam Kementerian Hasil Dalam Negeri dan Kastam.

c) Pakar Perancis sebagai penasihat di Kementerian Perundangan.

d) Pakar Jerman sebagai penasihat di Jabatan Kereta Api dan Jabatan Pos.

e) Pakar Denmark sebagai penasihat dalam Angkatan Laut dan Polis wilayah.

f) Pakar Itali sebagai penasihat dalam Kerja-kerja Pembinaan.

Raja Chulalongkorn menubuhkan kerajaan bercorak kabinet Eropah melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Tertinggi (MMT) dan Majlis Penasihat (MP). MMT diketuai oleh Raja Chulalongkorn dan dianggotai oleh 12 putera raja dan golongan bangsawan yang bertugas secara rasmi menasihati raja dalam pentadbiran dan hal ehwal negeri. MP dianggotai oleh 40 pegawai kerajaan yang berfungsi sebagai badan penasihat pentadbiran Siam. Kedua-dua majlis ini boleh mengemukakan pandangan secara terbuka.

Baginda juga mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang moden dengan 12 kementerian yang setiap satunya diketuai oleh seorang menteri dalam kalangan putera raja berpendidikan Barat dan dibantu penasihat Barat. Antaranya Kementerian hal Ehwal dalam Negeri, Kewangan, Pertanian, kehakiman dan Keadilan, Hal Ehwal Luar Negeri, Kerja Raya, Kerajaan Tempatan dan Pertahanan.

Baginda menamatkan kuasa autonomi di peringkat daerah dengan menyerapkan pembesar-pembesar ke Jabatan Perkhidmatan Awam dengan diberi gaji bulanan tetap atas kehilangan kuasa mereka.

Putera Damrong (Menteri dalam Negeri) menyusun semula pentadbiran dalam negeri berasaskan sistem pentadbiran Inggeris di Myanmar. Siam dibahagikan kepada 18 buah ‘monthon’ (bulatan). Setiap monthon ditadbir oleh Pesuruhjaya Tinggi. Monthon dipecahkan kepada unit-unit kecil lagi seperti ‘changwat’ (wilayah), ‘amphoe’ (daerah), ‘tambon’ (commune), hamlet dan kampong.

Chulalongkorn turut meberi perhatian pada polisi luar negaranya. Baginda telah meneruskan Dasar Buka Pintu Mongkut dan menjalin persahabatan dengan Barat melalui beberapa perjanjian persahabatan dan perdagangan. Pejabat kedutaan asing dibuka di Bangkok dan pejabat kedutaannya dibuka di negara luar seperti London, Paris, Jepun dan Washington. Baginda mengamalkan dasar diplomasi moden dengan Barat bagi mengekalkan kemerdekaan Siam seperti menyerahkan 12 kawasan di Laos, Luang Prabang, Seamreap kepada Perancis dan menyerahkan negeri-negeri Melayu Utara kepada Britain.

2. Ekonomi

Maharaja Meiji berusaha memajukan sektor perusahaan mengikut acuan Barat. Tahun 1873. Ito Hirobumi dilantik sebagai Menteri Perusahaan. Bantuan kepada pengusaha persendirian diberikan dalam bentuk modal, latihan perindustrian, khidmat nasihat dan bengkel teknik perniagaan. Khidmat kepakaran luar negara juga turut diperolehi. Buktinya tahun 1879, Jepun mengambil 130 pegawai asing melalui Kementerian Perusahaan.

Beberapa syarikat besar telah muncul untuk memajukan ekonomi Jepun seperti Mitsui, Mitsubishi, Yasuda dan Sumitomo. Syarikat-syarikat ini telah bergabung dengan syarikat lain yang dikenali sebagai Zaibatsu yang menjadi penggerak kemajuan ekonomi Jepun. Selain itu syarikat-syarikat persendirian yang kecil turut beroperasi seperti Osaka Spinning Mill, Tomioko Silk Mill dan Oji Paper Co.

Hasil perkembangan perusahaan, Jepun berjaya menghasilkan barangan eksport seperti kain kapas, sutera ,barangan kilang, perlombongan, kereta, kapal perdagangan adan kapal perang. Meiji memajukan juga perusahaan perkapalan dan perlombongan dengan bentuan khidmat kepakaran asing. Antaranya perlombongan arangbatu, besi dan tembaga.

Meiji juga menyusun sistem kewangannya dengan mengeluarkan mata wang kertas yen, menubuhkan bank pusat,Mitsui-Ono, First National Bank dan Yokohama Spesis Bank.

Raja Chulalongkorn telah menyusun semula kewangan Siam. Antaranya ialah:

a) Mewujudkan perbendaharaan moden di Siam dengan bantuan Penasihat Kewangan Inggeris yang dilantik sebagai jurukira Siam.

b) Sistem audit dan akaun moden diwujudkan.

c) Jabatan kastam dan Hasil Dalam Negeri dibentuk dan memperkenalkan cukai langsung

d) Anggaran belanjawan pertama diperkenalkan tahun 1901.

Sistem cukai moden mendapat keuntungan yang banyak dan menghapuskan penyelewengan, rasuah dan penindasan serta menghapuskan sistem pungutan cukai yang dipajakkan kepada orang Cina.

Bank-bank Inggeris dan Perancis ditubuhkan di Bangkok

Bidang pertanian turut dimajukan dengan menubuhkan Jabatan Taliair.

Kemudahan perdagangan kepada orang Barat turut disediakan dengan menggalakkan kemasukan pelabur asing

Pinjaman kredit diberikan kepada petani, pengusaha dan pedagang tempatan.

Hasilnya Siam berkembang maju dan pendapatan negara bertambah berikutan hasil eksport dan cukai yang diperolehi.

3. Sosial

a. Pendidikan

Meiji menubuhkan Kementerian Pendidikan tahun 1871 yang mewajibkan semua kanak-kanak setiap lapisan masyarakat mendapat pendidikan rendah daripada umur 6 hingga 10 tahun. Penekanan pada kesetiaan terhadap maharaja, bangsa dan negara yang dikenali sebagai prinsip kokutai diberikan. Sistem pendidikan Jepun diubahsuai mengikut sistem pendidikan Amerika. Keutamaan diberikan terhadap mata pelajaran Sains dan Teknik.

Meiji telah membawa masuk ramai tenaga pengajar, golongan profesional dan ahli akademik Barat di samping menghantar ramai pelajar dan pemuda negaranya melanjutkan pelajaran ke Eropah. Pusat-pusat pengajian tinggi seperti maktab dan universiti didirikan Contohnya Universiti Diraja Tokyo, Universiti Imperal, Maktab teknikal seperti Junior Technical College dan beberapa universiti swasta.

Manakala Chulalongkorn juga memberi penekanan dalam pendidikan moden. Baginda membina sekolah bagi kaum bangsawan dan rakyat biasa. Seramai 300 kaum kerab atnya dihantar menuntut ilmu di luar negara terutamanya ke Eropah. Jabatan pendidikan turut ditubuhkan setaraf dengan sistem pendidikan Barat. Dengan mengambil penasihat Britain. Sekolah-sekolah rendah didirikan menggunakan bahasa Thai manakala sekolah menengah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Terdapat juga sekolah asrama untuk lelaki dan perempuan seperti Sunandalaya, Maktab Diraja dan Suan Khulab. Sebuah Maktab Tentera didirikan dengan mengambil pakar Itali sebagai pengelolanya. Pelajaran teknik dan vokasional, jurusan undang-undang dan kaji ukur diperkenalkan. Sekolah-sekolah agama dan mubaligh turut didirikan.

b. Adat/budaya/agama/kesihatan/infrastruktur.

Chulalongkorn telah menghapuskan adat bersujud menghadap raja tahun 1873 dan menghapuskan sistem perhambaan secara berperingkat-peringkat dengan meluluskan Undang-undang Pengabdian pada Ogos 1874. Amalan buruh paksa dihapuskan dan menggantikan dengan buruh bergaji. Selain itu, amalan perjudian poligami diharamkan.

Chulalongkorn bersikap liberal dan toleransi dalam soal agama. Rakyat Siam diberi kebebasan menganut sebarang agama yang disukai.

Baginda juga membaiki taraf kesihatan penduduk dengan menubuhkan sekolah perubatan, hospital dan rawatan percuma untuk membanteras penyakit taun dan cacar dengan bantuan pakar-pakar Barat.

Siatem perhubungan atau infrastruktur diperhebatkan seperti menubuhkan Jabatan Kereta Api Negara. Perkhidmatan pos dan telegraf diperkenalkan. Jambatan dan terusan dibina sementara sistem kalendar Eropah diperkenalkan di Siam.

4. Ketenteraan

Maharaja Meiji memberi penekanan serius dalam bidang ketenteraan. Dalam usaha memodenkan angkatan tenteranya, kepakaran Jerman digunakan dengan mengambil tentera Jerman berkhidmat dalam angkatan tentera darat Jepun. Undang-undang kerahan tenaga diwujudkan tahun 1872 yang mewajibkan pemuda berumur 20 tahun menyertai tentera. Justeru Tentera Kebangsaan Jepun dibentuk dengan keanggotaan segenap lapisan masyarakat. Angkatan tentera laut juga dimodenkan dengan bantuan kepakaran Britain. Jepun berjaya membina kapal perangnya sendiri.

Jepun juga mengemaskinikan semula pasukan polis dengan menubuhkan Undang-undang Mengekalkan Keamanan.

5. Kehakiman

Chulalongkorn pula mengadakan pembaharuan dan penyusunan semula dalam bidang kehakiman setanding negara Barat. Baginda mengasaskan penubuhan sistem mahkamah jenayah dan awam, menubuhkan Kementerian Kehakiman dan sekolah undang-undang bagi menggalakkan pelajarnya mempelajari sistem kehakiman Barat.

Pada tahun 1897, kod undang-undang jenayah baru digubal dan mahkamah jenayah Barat ditubuhkan. Rang undang-undang ini mencadangkan Mahkamah Konsul dan hak wilayah asingan di Siam ditamatkan. Selain itu, sistem penjara disusun dan angkatan polis dimodenkan dengan bantuan penasihat British.

C. KESIMPULAN (2 markah)

Zaman Maharaja Meiji merupakan zaman kegemilangan Jepun. Meiji memiliki kebijaksanaan politik yang sukar ditandingi oleh pemerintah negara-negara Asia lain. Dalam masa yang singkat, Jepun muncul sebagai negara yang moden dan kuat. Jepun muncul sebagai satu kuasa ekonomi dan tentera yang hebat. Chulalongkorn pula dianggap seorang raja yang agung kerana kejayaannya mengekalkan kemerdekaan Siam. Siam telah menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang berjaya mengekalkan kemerdekaannya. Namun kegemilangan ini tidak berterusan semasa pemerintahan Vajiravudh dan Prajadhipok hinggalah berlaku Revolusi Siam 1932 yang menamatkan sisstem beraja mutlak.

No comments:

Post a Comment