Friday, May 11, 2012

LANGKAH-LANGKAH PEMODENAN DI JEPUN DAN THAILAND/SIAM

Huraikan langkah-langkah permodenan yang dijalankan oleh Maharaja Meiji (1868-1912) dan Raja Chulalongkorn (1868-1910) di Jepun dan Siam.

A. PENDAHULUAN (3 markah)

Maharaja Meiji yang memerintah Jepun pada Januari 1868 merupakan penggerak pemodenan yang utama dan zamannya dikenali sebagai Restorasi Meiji atau Zaman Peralihan setelah berjaya menamatkan kekuasaan Kesyogunan Tokugawa. Meiji menggunakan ilmu pengetahuan Barat untuk memodenkan negaranya. Manakala Raja Chulalongkorn yang menaiki takhta tahun 1868 setelah kematian bapanya Mongkut telah meneruskan dasar pemodenan Siam yang diasaskan oleh Mongkut. Chulalongkorn dikatakan Bapa Pemodenan sebenar kerana Siam benar-benar muncul sebagai sebuah negara yang moden.

B. ISI-ISI (20 markah)

1. Pentadbiran

Maharaja Meiji membentuk piagam yang menjadi panduan kepada pemimpin, pegawai-pegawai dan rakyat Jepun dalam menjalankan tugas. Pada April 1868, baginda menandatangani piagam tersebut yang mengandungi 5 perkara iaitu:

a) Dewan Perbahasan ditubuhkan bagi menerimarespons orang ramai mengenai undang-undang yang akan dilaksanakan.

b) Kakitangan awam diseru bersatu dalam semua dasar dan rancangan.

c) Semua rakyat digalakkan menggunakan hak dan minat masing-masing.

d) Segala adat lama yang tidak bermanfaat dihapuskan.

e) Jepun dikehendaki mengambil semua pengetahuan dan kemahiran dari dunia luar.

Meiji memindahkan pusat pentadbiran dari Kyoto ke Yedo dan menukar nama Yedo kepada Tokyo (Ibu Kota Timur).

Baginda juga mewujudkan sistem pentadbiran berpusat (di bawah kekuasaan maharaja) dengan menamatkan system feudal. Wilayah-wilayah kerkuasaan pembesar diambil semula oleh Meiji dan diberi gaji tetap. Wilayah-wilayah dibahagikan kepada beberapa daerah kecil (Ken) dengan menamatkan fungsi daimyo sebagai pembesar. Samurai yang tidak mempunyai jawatan dalam perkhidmatan awam diberi galakan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Meiji juga telah membentuk sebuah parlimen atau Diet tahun 1881 dengan menerima pakai perlembagaan Jerman sebagai acuannya. Majlis Penasihat Raja ditubuhkan dengan keanggotaan golongan bangsawan dan pembesar istana. Pada tahun 1889 perlembagaan baru yang dikenali sebagai Undang-undang Dasar Baru ditubuhkan dan menjadi perlembagaan rasmi Jepun tahun 1889. Diet yang terdiri daripada Dewan Agung dan dewan perwakilan Rakyat ditubuhkan tahun 1890.

Raja Chulalongkorn pula meneruskan dasar ayahnya Mongkut yang mengambil kepakaran orang Barat dalam pentadbirannya. Antaranya ialah:

a) Rolin Jacquemins pakar Jerman berkhidmat sebagai Penasihat Amnya.

b) Pakar Inggeris sebagai penasihat dalam Kementerian Hasil Dalam Negeri dan Kastam.

c) Pakar Perancis sebagai penasihat di Kementerian Perundangan.

d) Pakar Jerman sebagai penasihat di Jabatan Kereta Api dan Jabatan Pos.

e) Pakar Denmark sebagai penasihat dalam Angkatan Laut dan Polis wilayah.

f) Pakar Itali sebagai penasihat dalam Kerja-kerja Pembinaan.

Raja Chulalongkorn menubuhkan kerajaan bercorak kabinet Eropah melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Tertinggi (MMT) dan Majlis Penasihat (MP). MMT diketuai oleh Raja Chulalongkorn dan dianggotai oleh 12 putera raja dan golongan bangsawan yang bertugas secara rasmi menasihati raja dalam pentadbiran dan hal ehwal negeri. MP dianggotai oleh 40 pegawai kerajaan yang berfungsi sebagai badan penasihat pentadbiran Siam. Kedua-dua majlis ini boleh mengemukakan pandangan secara terbuka.

Baginda juga mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang moden dengan 12 kementerian yang setiap satunya diketuai oleh seorang menteri dalam kalangan putera raja berpendidikan Barat dan dibantu penasihat Barat. Antaranya Kementerian hal Ehwal dalam Negeri, Kewangan, Pertanian, kehakiman dan Keadilan, Hal Ehwal Luar Negeri, Kerja Raya, Kerajaan Tempatan dan Pertahanan.

Baginda menamatkan kuasa autonomi di peringkat daerah dengan menyerapkan pembesar-pembesar ke Jabatan Perkhidmatan Awam dengan diberi gaji bulanan tetap atas kehilangan kuasa mereka.

Putera Damrong (Menteri dalam Negeri) menyusun semula pentadbiran dalam negeri berasaskan sistem pentadbiran Inggeris di Myanmar. Siam dibahagikan kepada 18 buah ‘monthon’ (bulatan). Setiap monthon ditadbir oleh Pesuruhjaya Tinggi. Monthon dipecahkan kepada unit-unit kecil lagi seperti ‘changwat’ (wilayah), ‘amphoe’ (daerah), ‘tambon’ (commune), hamlet dan kampong.

Chulalongkorn turut meberi perhatian pada polisi luar negaranya. Baginda telah meneruskan Dasar Buka Pintu Mongkut dan menjalin persahabatan dengan Barat melalui beberapa perjanjian persahabatan dan perdagangan. Pejabat kedutaan asing dibuka di Bangkok dan pejabat kedutaannya dibuka di negara luar seperti London, Paris, Jepun dan Washington. Baginda mengamalkan dasar diplomasi moden dengan Barat bagi mengekalkan kemerdekaan Siam seperti menyerahkan 12 kawasan di Laos, Luang Prabang, Seamreap kepada Perancis dan menyerahkan negeri-negeri Melayu Utara kepada Britain.

2. Ekonomi

Maharaja Meiji berusaha memajukan sektor perusahaan mengikut acuan Barat. Tahun 1873. Ito Hirobumi dilantik sebagai Menteri Perusahaan. Bantuan kepada pengusaha persendirian diberikan dalam bentuk modal, latihan perindustrian, khidmat nasihat dan bengkel teknik perniagaan. Khidmat kepakaran luar negara juga turut diperolehi. Buktinya tahun 1879, Jepun mengambil 130 pegawai asing melalui Kementerian Perusahaan.

Beberapa syarikat besar telah muncul untuk memajukan ekonomi Jepun seperti Mitsui, Mitsubishi, Yasuda dan Sumitomo. Syarikat-syarikat ini telah bergabung dengan syarikat lain yang dikenali sebagai Zaibatsu yang menjadi penggerak kemajuan ekonomi Jepun. Selain itu syarikat-syarikat persendirian yang kecil turut beroperasi seperti Osaka Spinning Mill, Tomioko Silk Mill dan Oji Paper Co.

Hasil perkembangan perusahaan, Jepun berjaya menghasilkan barangan eksport seperti kain kapas, sutera ,barangan kilang, perlombongan, kereta, kapal perdagangan adan kapal perang. Meiji memajukan juga perusahaan perkapalan dan perlombongan dengan bentuan khidmat kepakaran asing. Antaranya perlombongan arangbatu, besi dan tembaga.

Meiji juga menyusun sistem kewangannya dengan mengeluarkan mata wang kertas yen, menubuhkan bank pusat,Mitsui-Ono, First National Bank dan Yokohama Spesis Bank.

Raja Chulalongkorn telah menyusun semula kewangan Siam. Antaranya ialah:

a) Mewujudkan perbendaharaan moden di Siam dengan bantuan Penasihat Kewangan Inggeris yang dilantik sebagai jurukira Siam.

b) Sistem audit dan akaun moden diwujudkan.

c) Jabatan kastam dan Hasil Dalam Negeri dibentuk dan memperkenalkan cukai langsung

d) Anggaran belanjawan pertama diperkenalkan tahun 1901.

Sistem cukai moden mendapat keuntungan yang banyak dan menghapuskan penyelewengan, rasuah dan penindasan serta menghapuskan sistem pungutan cukai yang dipajakkan kepada orang Cina.

Bank-bank Inggeris dan Perancis ditubuhkan di Bangkok

Bidang pertanian turut dimajukan dengan menubuhkan Jabatan Taliair.

Kemudahan perdagangan kepada orang Barat turut disediakan dengan menggalakkan kemasukan pelabur asing

Pinjaman kredit diberikan kepada petani, pengusaha dan pedagang tempatan.

Hasilnya Siam berkembang maju dan pendapatan negara bertambah berikutan hasil eksport dan cukai yang diperolehi.

3. Sosial

a. Pendidikan

Meiji menubuhkan Kementerian Pendidikan tahun 1871 yang mewajibkan semua kanak-kanak setiap lapisan masyarakat mendapat pendidikan rendah daripada umur 6 hingga 10 tahun. Penekanan pada kesetiaan terhadap maharaja, bangsa dan negara yang dikenali sebagai prinsip kokutai diberikan. Sistem pendidikan Jepun diubahsuai mengikut sistem pendidikan Amerika. Keutamaan diberikan terhadap mata pelajaran Sains dan Teknik.

Meiji telah membawa masuk ramai tenaga pengajar, golongan profesional dan ahli akademik Barat di samping menghantar ramai pelajar dan pemuda negaranya melanjutkan pelajaran ke Eropah. Pusat-pusat pengajian tinggi seperti maktab dan universiti didirikan Contohnya Universiti Diraja Tokyo, Universiti Imperal, Maktab teknikal seperti Junior Technical College dan beberapa universiti swasta.

Manakala Chulalongkorn juga memberi penekanan dalam pendidikan moden. Baginda membina sekolah bagi kaum bangsawan dan rakyat biasa. Seramai 300 kaum kerab atnya dihantar menuntut ilmu di luar negara terutamanya ke Eropah. Jabatan pendidikan turut ditubuhkan setaraf dengan sistem pendidikan Barat. Dengan mengambil penasihat Britain. Sekolah-sekolah rendah didirikan menggunakan bahasa Thai manakala sekolah menengah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Terdapat juga sekolah asrama untuk lelaki dan perempuan seperti Sunandalaya, Maktab Diraja dan Suan Khulab. Sebuah Maktab Tentera didirikan dengan mengambil pakar Itali sebagai pengelolanya. Pelajaran teknik dan vokasional, jurusan undang-undang dan kaji ukur diperkenalkan. Sekolah-sekolah agama dan mubaligh turut didirikan.

b. Adat/budaya/agama/kesihatan/infrastruktur.

Chulalongkorn telah menghapuskan adat bersujud menghadap raja tahun 1873 dan menghapuskan sistem perhambaan secara berperingkat-peringkat dengan meluluskan Undang-undang Pengabdian pada Ogos 1874. Amalan buruh paksa dihapuskan dan menggantikan dengan buruh bergaji. Selain itu, amalan perjudian poligami diharamkan.

Chulalongkorn bersikap liberal dan toleransi dalam soal agama. Rakyat Siam diberi kebebasan menganut sebarang agama yang disukai.

Baginda juga membaiki taraf kesihatan penduduk dengan menubuhkan sekolah perubatan, hospital dan rawatan percuma untuk membanteras penyakit taun dan cacar dengan bantuan pakar-pakar Barat.

Siatem perhubungan atau infrastruktur diperhebatkan seperti menubuhkan Jabatan Kereta Api Negara. Perkhidmatan pos dan telegraf diperkenalkan. Jambatan dan terusan dibina sementara sistem kalendar Eropah diperkenalkan di Siam.

4. Ketenteraan

Maharaja Meiji memberi penekanan serius dalam bidang ketenteraan. Dalam usaha memodenkan angkatan tenteranya, kepakaran Jerman digunakan dengan mengambil tentera Jerman berkhidmat dalam angkatan tentera darat Jepun. Undang-undang kerahan tenaga diwujudkan tahun 1872 yang mewajibkan pemuda berumur 20 tahun menyertai tentera. Justeru Tentera Kebangsaan Jepun dibentuk dengan keanggotaan segenap lapisan masyarakat. Angkatan tentera laut juga dimodenkan dengan bantuan kepakaran Britain. Jepun berjaya membina kapal perangnya sendiri.

Jepun juga mengemaskinikan semula pasukan polis dengan menubuhkan Undang-undang Mengekalkan Keamanan.

5. Kehakiman

Chulalongkorn pula mengadakan pembaharuan dan penyusunan semula dalam bidang kehakiman setanding negara Barat. Baginda mengasaskan penubuhan sistem mahkamah jenayah dan awam, menubuhkan Kementerian Kehakiman dan sekolah undang-undang bagi menggalakkan pelajarnya mempelajari sistem kehakiman Barat.

Pada tahun 1897, kod undang-undang jenayah baru digubal dan mahkamah jenayah Barat ditubuhkan. Rang undang-undang ini mencadangkan Mahkamah Konsul dan hak wilayah asingan di Siam ditamatkan. Selain itu, sistem penjara disusun dan angkatan polis dimodenkan dengan bantuan penasihat British.

C. KESIMPULAN (2 markah)

Zaman Maharaja Meiji merupakan zaman kegemilangan Jepun. Meiji memiliki kebijaksanaan politik yang sukar ditandingi oleh pemerintah negara-negara Asia lain. Dalam masa yang singkat, Jepun muncul sebagai negara yang moden dan kuat. Jepun muncul sebagai satu kuasa ekonomi dan tentera yang hebat. Chulalongkorn pula dianggap seorang raja yang agung kerana kejayaannya mengekalkan kemerdekaan Siam. Siam telah menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang berjaya mengekalkan kemerdekaannya. Namun kegemilangan ini tidak berterusan semasa pemerintahan Vajiravudh dan Prajadhipok hinggalah berlaku Revolusi Siam 1932 yang menamatkan sisstem beraja mutlak.

KESAN-KESAN PERJANJIAN KANAGAWA DAN PERJANJIAN BOWRING

BINCANGKAN KESAN-KESAN PERJANJIAN KANAGAWA DI JEPUN DAN PERJANJIAN BOWRING DI THAILAND TERHADAP NEGARA BERKENAAN

PENDAHULUAN ( 3 M )

-Abad ke 19 kemajuan pesat dalam bidang perindustrian dan perdagangan mendorong kuasa2 barat berlumba2 untuk menguasai tanah jajahan di AT.

-Raja Mongkut menyedari tekanan dan pencerobohan kuasa2 barat akan mengancam keselamatan Thailand setelah British berjaya dalam beberapa siri Perang Inggeris Burma. Mongkut sedar bahawa sikap degil dan dasar pemencilan seperti yang diamalkan oleh negara China dan Burma bukan sahaja tidak dapat menghalang kemaraan kuasa2 barat malah menyebabkan kuasa barat menggunakan kekerasan. Ini mendorong Raja Mongkut memulakan DBP dan pemodenan di Siam dengan tujuan mencegah pencerobohan kuasa2 barat dan mengekalkan kemerdekaan. Langkah pertama ke arah pembukaan Thailand kepada kuasa2 barat, beliau telah menandatangani Perjanjian Bowring pada 18 April 1855.

-Pada awal abad ke 19 kuasa barat spt Rusia, British dan USA (Amerika) ingin meluaskan kuasa dan mewujudkan hubungan diplomatic dan perdagangan di Jepun tetapi gagal. Amerika berminat kerana potensi perdagangan dengan Jepun, keperluaan bekalan bahan mentah dan pengkalan arang batu memandangkan penggunaan kapal-kapal stim yang bertambah. Anak-anak kapal Amerika yang terkandas di perairan Jpn diberi layanan yang buruk. Satu perjanjian telah ditanda tangani oleh Kerajaan Jepun dengan Amerika oada 1854 iaitu Perjanjian Kanagawa

ISI JAWAPAN ( 20 M )

A) Kesan Perjanjian Bowring 1855 ( 10 M )

-Menurut DGE Hall, perjanjian Bowring ini memulakan zaman moden Thailand dan DA Wilson menyatakan bermulanya titik peralihan di antara Siam tradisional dan Siam moden.

-Mongkut memberi peluang yang sama kepada kuasa2 barat apabila menandatangani perjanjian persahabatan dan perdagangan, contohnya Perancis 1855, USA 1856, Denmark 1858, Portugal 1859, Holland 1860, Prussia dan Belgium 1862, Italy, Norway dan Sweden 1868.

-Membuka Thailand kepada perdagangan antarabangsa dan merevolusikan semua jentera kewangan Siam dan menyebabkan golongan bangsawan kehilangan hak istimewa memonopoli sumber asli yang telah lama dinikmati.

-Sistem ekonomi Siam yang bercorak sara diri telah berkembang maju dan menjadi sistem ekonomi perdagangan / komersial.

-Siam merupakan pengeksport terbesar beras dan kayu jati di dunia. Pada tahun

1850 jumlah eksport beras Siam ialah 5 %, pada tahun 1905 menjadi 50 % daripadadaripada jumlah beras dunia. Gula eksport utama Siam ke Eropah meningkat dua kali ganda menjelang 1865.

-Pada tahun 1852 hanya terdapat 3 orang pedagang Eropah di Bangkok. Pada tahun 1856, bilangan kapal dagang adalah 200 buah dan dalam jangka masa yang singkat meningkat 10 kali ganda.

-Britain muncul sebagai pelabur utama di siam. Singapura dan Hong Kong mula berdagang dengan Siam.

-Penamatan monopoli perdagangan Siam dengan orang cina dan mereka hanya memajakkan monopoli2 eksais yang baru seperti judi, ganja, loteri dan minuman keras sahaja kepada orang Cina.

-pemerintah berjaya mewujudkan keseimbangan kuasa di Siam-tidak ada sebarang alasan yang membolehkan kuasa barat campur tangan secara kekerasan-keadaan ini menyebabkan kemerdekaan dan kedaulatan Siam kekal.

-pembukaan pintu Siam kepada barat dan galakan ke arah proses pembaratan telah mengakibatkan kemasukan golongan mubaligh,professional dan orang Eropah sebagai tukang, tutor, pegawai-pegawai polis,penterjemah dan penasihat tentera.

B) Kesan-kesan Perjanjian Kanagawa 1854 ( 10 M )

- Perjanjian Kanagawa telah menamatkan dasar isolasi Jepun dan memulakan era penglibatan Jepun dalam arena antarabangsa.

-Kuasa barat seperti British(1854), Rusia(1855) dan Belanda(1856) juga mengikuti jejak A merika menandatangani perjanjian perdagangan dengan Jepun

-Townsend Harris Konsul Amerika ke Jepun berjaya mendatangani perjanjian perdagangan yanglebih sempurna. Kejayaan Amerika juga diikuti oleh kuasa-kuasa barat yang lain.

-Jepun mula dibuka kepada kuasa-kuasa barat dan empat pelabuhan di buka iaitu Kanagawa, Nagasaki, Niigate dan Hyogo (Kobe)

-Kadar cukai import dan eksport yang berpatutan telah dipersetujui

-Hubungan diplomatic atas dasar persamaan taraf telah diadakan dengan Amerika. Amerika juga telah diberi hak wilayah asingan di jepun.

-Pembukaan Jepun kepada kuasa barat telah mengakibatkan pertambahan orang Eropah di Jepun. Kehadiran orang barat mula menimbulkan kebencian. Wujud gerakan anti asing seperti pembunuhan orang-orang barat dan kedutaan British di serang. Shogun terpaksa membayar ganti rugi.

-Dasar buka pintu Jepun telah membawa kepada pergolakan politik yang akhirnya merintis jalan pada kejatuhan Keshogunan Tokugawa.

-Bermulanya era permodenan Meiji dan kebangkitan Jepun sebagai kuasa besar baru dalam bidang perindustrian dan ketenteraan.

KESIMPULAN ( 2 M )

-British-Amerika dan kuasa barat yang lain berjaya mengukuhkan pengaruh mereka di Jepun dan Thailand melalui perjanjian walaupun tiada sebarang unsure kekerasan digunakan. Mereka gagal mencari sebarang ruang untuk mengugat kedaulatan Thailand dan Jepun.

-Kebijaksanaan pemimpin terbukti berjaya mengelakkan Thailand and Jepun daripada dijajah.

-Dasar buka pintu yang dijalankan berjaya memodenkan Thailand dan Jepun pula telah bangkit sebagai satu kuasa besar dalam bidang perindustrian dan ketenteraan.

DASAR PENGILHAKAN

Bincangkan dasar pengilhakan kuasa-kuasa Barat di India dan di Indochina pada abad ke-19.

  1. Pengenalan (3 Markah )

  1. Perkembangan dalam bidang perdagangan dan perindustrian telah mendorong kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba meluaskan pengaruh mereka di seluruh dunia.
  1. Pada abad ke-19 kuasa-kuasa Barat berusaha meluaskan pengaruh politik dan ekonomi serta membentuk empayar yang luas di Asia kerana kaya dengan bahan mentah yang diperlukan di kilang-kilang mereka. Negara-negara di Asia juga menyediakan pasaran yang lebih luas bagi lebihan barangan hasil keluaran kilang-kilang mereka.
  1. Negara-negara Barat menggunakan berbagai-bagai cara untuk menguasai negara-negara Asia seperti peperangan, perjanjian, ataupun pengilhakan. Antara negara-negara Asia yang terlibat dengan perluasan kuasa Barat melalui kaedah pengilhakan ialah India oleh British dan Indochina oleh Perancis.
  1. Di India dan Indochina walaupun cara campur tangannya adalah sama iaitu dengan kaedah pengilhakan, namun proses perlaksanaannya adalah berbeza. Perluasan kuasa melalui kaedah pengilhakan melibatkan cara kekerasan seperti peperangan, ugutan, perjanjian, dan sebagainya.
  1. Isi ( 20 Markah )

Proses pengilhakan kuasa-kuasa Barat di India dan Indochina pada abad ke-19

  1. Pengilhakan British di India ( 10 markah )

  1. Dasar pengilhakan Lord William Bentick ( 1824-1835 )

i. Semasa menjadi Gabenor Jeneral di India beliau telah mengilhakan beberapa kawasan. Beliau menggunakan alasan penyalahtadbiran untuk mengilhakan Cachar, Coorg, dan Mysore.

ii. Raja Cachar telah mangkat tanpa meninggalkan waris. Bentick telah mengilhakan kawasan tersebut atas permintaan penduduk tempatan.

iii. Di wilayah Coorg dan Mysore, Bentick mengilhakan kawasan ini atas alasan pemimpin tempatan telah menyalahgunakan kuasa mereka dalam pentadbiran. Penduduk tempatan menyokong tindakan Bentick kerana mereka mahukan pentadbiran yang adil dan saksama.

  1. Dasar pengilhakan Lord Ellenborough ( 1836-1846 )

i. Lord Ellenborough telah mengilhakan Sind dan Gwalior.

ii. British telah menjalinkan hubungan dengan Sind sejak tahun 1809. Pada tahun 1823 British telah menandatangani perjanjian dengan Sind dan Gwalior untuk menyekat kemaraan kuasa Perancis di kedua-dua kawasan tersebut. Melalui perjanjian ini pedagang-pedagang British dibenar menggunakan sungai dan jalan-jalan raya yang ada.

iii. Perjanjian ini telah dicabuli oleh Lord Auckland yang telah mengarahkan tenteranya berbaris melalui Sind.

iv. Lord Ellanborough ingin merampas Sind dengan membuat beberapa tuduhan. Charles Napier telah dihantar untuk menyiasat. Beliau mengadakan perjanjian baru dengan Amir Sind. Amir-amir dipaksa menyerahkan bahagian yang lebih besar di wilayah mereka serta melepaskan hak mereka untuk membuat wang mereka sendiri. Hanya mata wang British yang diakui sebagai mata wang yang sah.

v. Tindakan itu menyebabkan Amir marah dan bertindak menyerang residensi British. Amir telah ditewaskan dalam peperangan di Miani dan Dabo. Sind telah dirampas dan diletakkan dalam empayar British di India.

vi. Ellenborough juga telah mengilhakan wilayah Gwalior dan Paniar setelah kematian Daulat Rao Sindhia, ketua puak Maratha yang digeruni.

  1. Dasar pengilhakan Lord Dalhousie ( 1846-1856 )

i. Lord Dalhousie melaksanakan dasar pengilhakan melalui tiga kaedah iaitu hak menakluki kuasa agung oleh Syarikat Hindia Timur British ( SHTI ), “ Doctrin of Lapse ” ( Undang-Undang Lesap Waris ), dan keinginan untuk melanjutkan kebaikan-kebaikan tanpa faedah yang dibawa oleh pemerintah British ke atas wilayah-wilayah yang dibelenggu masalah penyelewengan atau penyelewengan pemerintah tempatan.

ii. Melalui kaedah hak menakluki kuasa agung, beliau telah menakluk Punjab dengan mengisytiharkan perang ke atas kaum Sikh dan mengalahkan mereka di Gujerat. Punjab berjaya diilhakan.

iii. Kaedah Doctrin of Lap paling kerap digunakan oleh Lord Dalhousie. Menurut doktrin ini mana-mana pemerintah yang tidak meninggalkan waris untuk meneruskan pemerintahan selepas mereka mangkat, maka negeri atau wilayah itu akan jatuh ke bawah kuasa agung dengan sendirinya. Beliau tidak mengiktiraf hak seseorang pemerintah untuk melantik seorang waris yang bukan daripada keturunannya. Contohnya di Jhansi, perlantikan anak angkat sebagai pewaris dianggap tidak sah oleh British. Wilayah-wilayah lain yang diilhakan cara ini ialah Satara, Jaitpur, Baghat, dan Samalpur.

iv. Kaedah kebaikan untuk diperintah berlaku atas alasan penganiayaan, kezaliman, dan ketidakadilan politik dalam sesebuah negeri. Misalnya Qudh telah diletakkan di bawah naungan SHTI. Pentadbiran Qudh dikuasai oleh Nawab Khan dalam keadaan huru-hara dan amalan rasuah berleluasa. Dalhousie mengadakan perjanjian dengan Qudh. Dalam perjanjian itu, SHTI akan mengambil alih Qudh, manakala Nawab akan dibenarkan mengekalkan gelaran dan dibayar 15 juta rupee. Apabila Nawab enggan menandatangani perjanjian tersebut Dalhousie telah mengambil keputusan menjalankan dasar pengilhakan atas alasan penyelewengan pemerintah tempatan.

  1. Pengilhakan Indochina oleh Perancis ( 10 markah )
  1. Pengilhakan Kemboja

i. Kemboja sering menjadi rebutan antara Vietnam dan Thailand sejak abad ke-19 sehingga Kemboja terpaksa menghantar ufti kepada Vietnam dan Thailand untuk menjamin kemerdekaannya.

ii. Pada masa yang sama Perancis juga berminat untuk menguasai Kemboja kerana bimbang akan dikuasai oleh British ataupun Thailand di samping Perancis hendak menjadikan Kemboja sebagai negeri penampan.

iii. Perebutan kuasa semasa pemerintahan Raja Norodom menjadi sebab Perancis campur tangan tetapi dibantah oleh Thailand.

iv. Keadaan ini menyebabkan satu perjanjian ditandatangani antara Perancis dan Thailand dan perjanjian ini menetapkan bahawa Kemboja menjadi negeri naungan Perancis. Ini disebabkan Thailand juga turut menuntut Kemboja berada dibawah naungan Thailand.

v. Perjanjian ini telah menamatkan persaingan antara Perancis dan Thailand berhubungan dengan isu Kemboja.

vi. Sikap tolak ansur Thailand ini menyebabkan Perancis membalasnya dengan mengiktiraf kedaulatan Thailand ke atas Battambang dan Siamreap.

vii. Namun pada tahun 1962, Laksamana Bonnard telah melawat Raja Norodom dan meminta Kemboja menghantar ufti kepada Perancis dan bukannya kepada Vietnam.

viii. Pada 1863, Perancis memaksa Raja Norodom menandatangani perjanjian untuk berhenti menghantar ufti sama ada kepada Thailand dan Vietnam.

  1. Pengilhakan Tourane dan Saigon

i. Perancis menjalinkan hubungan baik dengan Vietnam semasa pemerintahan Maharaja Gia Long.

ii. Pengganti-pengganti Gia Long kemudiannya tidak menjalinkan hubungan baik dengan Perancis. Mereka bertindak melakukan kekejaman terhadap mubaligh-mubaligh Kristian dan menggubal undang-undang yang melarang kemasukan mubaligh-mubaligh Kristian ke Vietnam.

iii. Permusuhan Perancis dan Vietnam telah memuncak semasa pemerintahan Maharaja Tu Duc. Pada masa ini kegiatan anti-Kristian dan kejadian pembunuhan mubaligh Kristian semakin bertambah.

iv. Kegiatan ini menyebabkan Raja Perancis Napoleon III telah mengambil tindakan menakluki Vietnam dengan menggunakan peristiwa pembunuhan Bishop Diaz, seorang paderi Sepanyol di Tongking, sebagai alasan menyerang Vietnam.

v. Pada 31 Ogos 1858, Perancis telah menyerang Tourane bersama bersama angkatan tentera Sepanyol di bawah pimpinan Rigault ge Genouilly dan pada 2 September 1858 Tourane jatuh ke tangan Perancis. Seterusnya Perancis menyerang Saigon yang merupakan kawasan tanaman dan pusat pengumpulan padi yang utama di Vietnam. Saigon telah jatuh ke tangan Perancis pada 17 Februari 1859.

vi. Peristiwa ini menyebabkan seluruh selatan Vietnam jatuh ke tangan Perancis. Tu Duc akhirnya mengaku kalah dan menandatangani perjajanjian dengan Perancis pada Jun 1862.

  1. Pengilhakan Tongking

i. Tongking penting kepada Perancis dari segi ekonomi kerana menjadi jalan perniagaannya ke China melalui Sungai Merah. Perancis bimbang dengan persaingan kuasa Barat yang lain seperti Jerman, Itali, dan AmerikaSyarikat. Penindasan Maharaja Tu Duc juga memaksa Perancis menakluki Tongking.

ii. Sewaktu Perancis bertapak di Cochin-China, keadaan huru-hara telah tercetus di Tongking kerana kamasukan orang-orang pelarian.

iii. Perdana Menteri Perancis telah memutuskan untuk menamatkan keadaan huru-hara di Vietnam dan menjadikan Vietnam sebagai naungan Perancis.

iv. Pada April 1882, angkatan laut Perancis tiba di Hanoi dan menakluki Tongking pada tahun 1883.

  1. Penutup ( 2 Markah )

  1. Perancis dan British telah berjaya menggunakan kaedah pengilhakan untuk meluaskan kuasa di Vietnam dan India.
  2. Campur tangan Perancis dan British telah menyebabkan perubahan-perubahan berlaku dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial di Vietnam dan India.
  3. Perluasan kuasa melalui kaedah pengilhakan telah menyebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat tempatan yang membawa kepada berlakunya penentangan seperti peristiwa Dahagi India 1857.

PERANAN DAN SUMBANGAN GOLONGAN WARTAWAN

Huraikan peranan dan sumbangan golongan wartawan dalam gerakan kesedaran di Tanah Melayu sehingga Perang Dunia Kedua.

A. Pendahuluan ( 4 markah )

i. Kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu tidak jauh bezanya daripada negara-negara lain di Asia. Penduduk di Tanah Melayu ingin membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan British yang telah lama bertapak di sini. Sukar dipastikan sejak bila semangat kebangsaan mula tumbuh di Tanah Melayu tetapi pejuangan menentang penjajah bermula sejak British mula campur tangan di Tanah Melayu.

ii. Kebangkitan gerakan kesedaran di Tanah Melayu dipengaruhi oleh banyak faktor sama ada faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran yang membantu kebangkitan gerakan kesedaran di Tanah Melayu ialah gerakan Islah di Mesir, Gerakan Turki Muda, nasionalisme China dan India dan faktor dalaman seperti perkembangan pendidikan, paranan agama Islam, dasar British, peranan bidang kewartawanan dan lain-lain lagi

iii. Golongan wartawan memainkan peranan penting dalam merangsang gerakan

nasionalisme di Tanah Melayu. Mereka berfungsi sebagai pemberi maklumat, penyebar berita dan menyedarkan rakyat tempatan. Keadaan ini amat jelas sebelum Perang Dunia Kedua apabila golongan wartawan di Tanah Melayu bergerak dengan menggunakan akhbar menyedarkan rakyat untuk menentang British.

B. Peranan dan sumbangan golongan wartawan dalam gerakan kesedaran (20 markah )

i. Sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an terdapat 80 buah akhbar dan majalah yang diterbitkan di Tanah Melayu. Antara akhbar dan majalah yang diterbitkan ialah Majlis, Warta Malaya, Idaran Zaman, al-Imam, Lembaga Malaya, Utusan Melayu, Majalah Guru dan Warta Negara.

ii. Antara golongan wartawan yang memainkan peranan penting dalam gerakan kesedaran ini ialah Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.

iii. Golongan wartawan bukan hanya menyiarkan berita dan laporan sahaja, tetapi berperanan menyalurkan pandangan, menambahkan ilmu pengetahuan dan menyampaikan mesej kepada orang Melayu untuk mencapai kemajuan dalam bidang kehidupan.

iv. Walaupun wartawan mempunyai peranan dan perjuangan tertentu tetapi kandungan tidak banyak berbeza. Sebelum tahun 1930-an tumpuan wartawan adalah kepada berita-berita dunia, masalah sosial dan agama. Laporan perjuangan golongan nasionalis di luar negara menuntut kemerdekaan dan membangkitkan kesedaran penduduk tempatan menentang British.

v. Syed Syeikh Ahmad al-Hadi telah mengeluarkan akhbar Al-Ikhwan di Pulau Pinang pada tahun 1926. Akhbar ini memberi tumpuan untuk menyebarkan pembaharuan agama, menimbulkan kesedaran sosial dan politik kepada orang Melayu. Tujuan penerbitannya ialah untuk membawa pembaharuan agama kepada masyarakat Melayu serta menimbulkan kesedaran politik dan sosial kepada mereka. Perkara-perkara lain yang dibincangkan ialah emansipasi wanita dan kepentingan pelajaran Inggeris di kalangan orang Melayu dengan tujuan untuk meningkatkan taraf sosial orang Melayu melalui bidang pendidikan.

vi. Pada tahun 1928, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi telah menerbitkan akhbar Saudara. Akhbar ini cenderung memperjuangkan isu-su agama dan menjadi saluran menyebarkan idea-idea pembaharuan Islam Kaum Muda. Pada peringkat awal akhbar ini diterbitkan pada setiap hari Sabtu tetapi apabila telah memiliki penerbitan sendiri, iaitu Jelutong Press di Pulau Pinang, akhbar ini diterbitkan dua kali seminggu.

vii. Saudara juga cenderung menerbitkan banyak rencana tentang Islam dan keadaan sosioekonomi orang Melayu. Pengarang pertamanya ialah Mohd Yunos bin Abdul Hamid dan dibantu oleh Abdul Rahim Kajai sebagai Penolong Pengarang. Akhbar ini telah memainkan peranan penting sebagai wadah untuk menyalurkan idea-idea reformis Islam dari Kaum Muda.

viii. Akhbar ini telah menjadi pengkritik hebat terhadap cara hidup orang Melayu yang enggan menerima pembaharuan dalam agama dan sosial. Selain isu-isu agama ia juga menyiarkan pelbagai rencana tentang ekonomi, politik, sejarah dan pelajaran. Menjelang tahun 1930-an akhbar ini telah memperlihatkan kesedaran politik yang jelas apabila ia mula menyeru umat Islam terutama orang Melayu supaya berusaha menjaga negeri agar tidak dikuasai oleh bangsa asing.

ix. Pada tahun 1934, akhbar Saudara memulakan ruangan baru yang dinamakan Halaman Sahabat Pena untuk menimbulkan minat membaca, mengembangkan persuratan Melayu dan bertukar-tukar pendapat di kalangan pembaca-pembaca Melayu. Ruangan Halaman Sahabat Pena telah ditukar kepada Persaudaraan sahabat Pena setelah mendapat sambutan yang menggalakkan. Pada tahun 1935 ruangan ini diawasi dan dikawal rapi pihak British. Menerusi pengawasan pasukan Cawangan Khas Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, pihak British mula mengintip dan memerhatikan kegiatan ruangan ini dan semua tokoh yang terlibat.

x. Pada tahun 1930, akhbar Warta Malaya telah diterbitkan di Singapura. Pada mulanya dicetak oleh Anglo Asiatic Press yang dimilki oleh Syed Hussein Ali al Sagoff bersama abangnya Syed Abdullah dan sepupunya Sharifah Shaikah. Akhbar ini merupakan akhbar harian Melayu terbesar setanding dengan akhbar-akhbar bangsa asing di Tanah Melayu.

xi. Pada tahun 1935, Warta Malaya membuka cawangannya di Kuala Lumpur dan mengeluarkan akhbar mingguannnya iaitu Warta Ahad, diikuti oleh Warta Jenaka yang merupakan sebuah majalah mingguan yang diterbitkan setiap hari Isnin. Pengarang pertamanya ialah Dato Onn bin Jaafar. Warta Malaya banyak menyiarkan rencana pengarangnya yang menyentuh keadaan sosioekonomi orang Melayu, soal pelajaran tinggi orang Melayu, dasar pemusatan kuasa British dan tindak tanduk golongan imigran terutama tuntutan mereka untuk mendapat hak yang lebih. Selepas Dato Onn meninggalkan Warta Malaya, ia digantikan oleh Sayid Alwi dan beliau meneruskan perjuangan Dato Onn.

xii. Warta Malaya sering mengemukakan kritikan mereka yang bersifat pro-Melayu dan anti-British tetapi akhbar itu tidak bersifat radikal terhadap British. Akhbar ini sering mendesak British supaya memberikan banyak jawatan pentadbir kanan kepada orang Melayu walaupun mereka sedar bahawa orang Melayu yang berpendidikan dan layak untuk jawatan itu adalah sedikit.

xiii. Pada tahun 1931, akhbar Majlis telah diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Mohamad Amin bin Hj Mohd Yusof pemilik Selangor Press. Ia merupakan akhbar kebangsaan pertama. Abdul Rahim Kajai telah dilantik menjadi Ketua Pengarang Maljis yang pertama. Beliau adalah seorang peminat politik dan rencana yang disiarkan banyak berkisar kepada isu-isu politik. Pada masa ini Majlis lebih menjurus kepada isu-isu berkaitan dengan sosial dan politik. Akhbar Majlis merupakan akhbar Melayu yang pertama menyediakan ruangan membicarakan politik secara meluas dan membincangkan hak-hak orang Melayu.

xiv. Penerbitannya juga bertujuan menyatukan orang Melayu bagi mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Selain politik ia juga banyak menerbitkan rencana tentang perpaduan bangsa, kesedaran dan kebangkitan untuk mengatasi kemunduran terutamanya mengenai hak dan kedudukan orang Melayu yang perlu dilindungi dan tuntutan orang asing untuk hak dan kedudukan yang sama seperti orang Melayu tidak seharusnya diterima.

xv. Utusan Melayu diterbitkan pada 29 Mei 1939. Akhbar ini merupakan akhbar pertama yang dimiliki oleh syarikat orang Melayu sendiri kerana sebelumnya syarikat-syarikat akhbar banyak dimiliki oleh orang Arab. Pengarang utamanya ialah Abdul Rahim Kajai. Akhbar ini melambangkan kegigihan orang Melayu.

xvi. Akhbar ini memperjuangkan semangat kebangsaan dan kegiatan orang Melayu dalam politik. Menekankan kepentingan pendidikan untuk mencapai kemajuan. Salah seorang sidang pengarangnya ialah Ishak Hj Muhammad yang banyak menyeru masyarakat Melayu supaya bersatu. Syarikat ini turut menerbitkan Utusan Zaman dan Mastika.

A. KESIMPULAN ( 2 M )

i. Peranan wartawan dalam membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat Melayu Tanah Melayu memang tidak dapat dinafikan. Penulis-penulis yang aktif mengkritik tentang kemunduran orang Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi telah dipandang serius. Tulisan-tulisan mereka menjadi penggalak kepada orang Melayu untuk menjaga hak dan bangkit menentang penjajah.

ii. Rata-rata isu utama yang menjadi persoalan berkaitan dengan seruan untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, masalah kemunduran orang Melayu,hak-hak istemewa orang Melayu,kepentingan ekonomi dan pendidikan yang bernilai komersil tidak ketinggalan perjuangan emansipasi wanita.

iii. Perjuangan wartawan semakin nyata dengan penerbitan Utusan Melayu terutamanya selepas perang dengan isu Malayan Union.

DASAR DAN KESAN PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU

Jelaskan dasar dan kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 hingga tahun 1945.

Pengenalan. (3m)

- Pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada 15 Februari 1942 sehingga 12 September 1945.Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura berlangsung selama 3 tahun 8 bulan.Pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu adalah kerana desakan perkembangan perindustrian dan ketenteraan yang berlaku di Jepun.

- Jepun mengambil tindakan untuk menyerang negara-negara Asia yang kaya dengan bahan mentah bagi keperluan perindustrian dan ketenteraan. Walaupun tempoh masa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu adalah singkat namun Jepun telah berjaya menguasai politik, ekonomi, dan sosial Tanah Melayu.Kejayaan ini membawa kesan yang mendalam terhadap masyarakat di Tanah Melayu.

Isi

Dasar-dasar Jepun di Tanah Melayu. (10m)

1. Dasar Politik.

- Jepun memperkenalkan pentadbiran tentera di Tanah Melayu bercorak militer atau ketenteraan di bawah pengawasan seorang Jeneral. Pentadbiran di Tanah Melayu dibahagikan kepada dua iaitu Negeri-negeri Selat diperintah oleh seorang Gabenor yang beribu pejabat di Singapura.Nama Singapura diubah kepada Syonan yang bermaksud cahaya Selatan, manakala Semenanjung Tanah Melayu diperintah oleh seorang Presiden atau Gunseikan. Tanah Melayu dibahagikan kepada lapan wilayah dan setiap wilayah diketuai oleh seorang Gabenor Jepun.

- Jepun juga mengembalikan kuasa Sultan yang telah dirampas oleh Inggeris di Negeri-negeri Melayu tetapi sultan hanya sebagai ketua negeri dan menjalankan tugas sebagai Ketua agama Islam di negeri masing-masing.Jepun sebenarnya ingin mengambil hati para sultan agar apa-apa yang dihajati tercapai. Jepun ingin mendapatkan sokongan orang Melayu agar mereka akan terus mendapat gajaran disebalik perbuatan itu.

- Bagi menjaga pemantapan setiap operasi yang dijalankan di Tanah Melayu Jepun membentuk pasukan keselamatan yang diketuai oleh Pegawai Jepun dan dianggotai perisik tentera iaitu Kempeitai untuk mengawal keamanan.Kempeitai sangat kejam dan telah menangkap dan membunuh ramai orang.Selain itu Tekikan ialah Pasukan mata-mata gelap yang bertugas untuk mencari musuh-musuh yang menyokong Inggeris yang menentang pemerintahan Jepun atau menghasut Melayu.

- Sebaik sahaja Jepun menawan Tanah Melayu, Jepun bertindak membebaskan ahli-ahli kesatuan Melayu muda (KMM) yang dipenjarakan oleh British. Jepun juga menubuhkan semula KMM dengan melantik Ibrahim Yaacob sebagai pemimpin utama.Jepun cuba memperalatkan Ibrahim Yaacob untuk tujuan mendapatkan sokongan dan menyebarkan propaganda anti-British.

2. Dasar Ekonomi.

- Sistem ekonomi bebas ditukar kepada sistem ekonomi kawalan. Perdagangan dengan dunia luar terputus.Jepun tidak menggalakan sebarang urusan perdagangan.Perdagangan singapura dan Pulau Pinang dengan dunia Barat terputus. Perniagaan dan perdagangan dalam negeri dikuasai oleh pihak Jepun.Jepun hanya berminat mengeksplotasi sumber alam negara kita bagi kepentingan negaranya. Galian besi dan bauksit dieksplotasi bagi kegunaan industri dan membuat senjata perang.

- Oleh sebab pengeluaran barangan makanan seperti beras tidak mencukupi maka Jepun telah memperkenalkan catuan beras pada tahun 1943. Penduduk Tanah Melayu perlu mendapatkan kupon dari Pejabat Kawalan Makanan untuk ditukarkan dengan beras. Setiap keluarga hanya dihadkan dua gantang beras sebulan. Untuk mengatasi kekurangan beras dalam negara Jepun telah bertindak memperkenalkan rancangan ekonomi pertanian iaitu rancangan tiga tahun sara diri. Selain itu Jepun memperkenalkan padi Taiwan yang membolehkan penanaman padi dua kali setahun.

- Pihak Jepun juga menggalakkan supaya masyarakat tempatan menanam makanan yang lain seperti ubi kayu, keledek, jagung, sagu dan lada hitam. Pihak Jepun telah menebang ladang getah dan hutan bagi tujuan penanaman makanan seperti ubi kayu, sagu dan jagung.

- Jepun telah mencetak mata wang Jepun yang dikenal sebagai Wang Pokok Pisang untuk menambahkan penggunaan mata wang baru.

3. Dasar Sosial

- Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu Jepun menerapkan Dasar Niponisasi iaitu dasar Penjepunan terhadap Tanah Melayu.Antara dasar yang diterapkan ialah layanan yang berbeza diberikan kepada penduduk tempatan oleh pihak Jepun. Semua kaum iaitu orang melayu, Cina dan India mengalami penyeksaan, penderitaan, kebuluran, ketakutan dan pengangguran.Layanan yang berbeza ini menyebabkan atau mewujudkan permusuhan kaum antara orang Cina dengan orang Melayu.

- Dasar Penjepunan juga dilakukan dalam sistem pendidikan iaitu sekolah-sekolah Inggeris dan Tamil diganti dengan sistem pendidikan Jepun. Sistem pendidikan ini menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun.

- Selain itu kebudayaan Jepun disebarkan melalui sisitem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar tentang istiadat dan lagu kebangsaan Jepun iaitu Kamigayo. Lagu ini dinyanyikan pada setiap pagi ketika menghadap matahari terbit.

- Selain pendidikan, pentadbiran tentera Jepun mengamalkan dasar berbaik-baik dengan orang Melayu dan India. Mereka menjalankan dasar menindas orang Cina dan tujuan dasar ini adalah disebabkan perasaan ingin membalas dendam ke atas orang Cina yang menyumbangkan sokongan kewangan dan peralatan perang kepada negara China semasa Perang China- Jepun 1937.

- Ramai orang Cina, India dan Melayu telah dihantar untuk bekerja membina jalan keretapi maut di sempadan Tahunai-Burma. Beribu-ribu orang kehilangan nyawa semasa pembinaan projek tersebut.

Kesan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu (10m)

1. Kesan Politik

- Pendudukan Jepun telah membangkitkan kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu. Slogan Jepun iaitu Asia Untuk Orang Asia telah menambahkan keazaman dan semangat orang Melayu untuk mencapai kebebasan politik dan kemerdekaan.

- Semasa pendudukan Jepun orang Melayu diberi jawatan-jawatan kanan seperti Pegawai Daerah. Pengalaman pentadbiran ini memberikan keyakinan diri kepada orang Melayu untuk mentadbir negeri mereka sendiri. Orang Melayu juga sedar bahawa mereka tidak boleh menaruh harapan mereka kepada British. Mereka harus menentukan nasib mereka sendiri.

- Kejayaan Jepun dan kekalahan British telah mengikis kepercayaan bahawa kuasa British tidak boleh dikalahkan. Justru sikap anti-British semakin menebal dalam kalangan orang Melayu.

- Jepun menubuhkan semula KMM dengan melantik Ibrahim Yaacob sebagai pemimpin utamanya melalui KMM gerakan nasionalisme Melayu dihidupkan semula. Secara sulit KMM bergiat semula dalam menyemarakan sentimen anti-British dalam kalangan orang Melayu.KMM juga bersikap anti-Jepun. Apabila Jepun mengetahui kegiatan sebenar KMM, KMM dibubarkan dengan segera. Jepun kemudiannya menubuhkan Pembela Tanahair (PETA). Ahli-ahli Melayu dalam PETA diberi latihan ketenteraan.

- Jepun juga membantu menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Namun orang Melayu tidak berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada Jepun kerana Jepun telah menyerah kalah pada 1945.

- Selain itu Parti Komunis Malaya muncul sebagai parti yang kuat dan telah menubuhkan MPAJA dengan bantuan British dan telah Berjaya melancarkan pemberontakan bersenjata pada Jun 1948.

2. Kesan Ekonomi.

- Ekonomi Tanah Melayu merosot semasa pendudukan Jepun akibat taktik “Bumi Hangus” yang diamalkan oleh British. Banyak kemudahan awam seperti infrastruktur telah diletupkan oleh British.

- Kemusnahan terhadap ekonomi terutama ladang getah dan lombong bijih timah telah berlaku dengan teruk.Taraf hidup penduduk merosot Tanah Melayu terputus daripada pasaran-pasaran antarabangsa. Perusahaan tempatan diambil alih oleh syarikat besar Jepun iaitu Mitsui dan Mitsubishi.

- Inflasi berlaku dengan kadar yang tinggi berikutan kekurangan barang keperluan utama, peningkatan harga barangan dan pengeluaran mata wang pokok pisang yang tidak terkawal.

- Tanah Melayu mengalami kekurangan makanan seperti beras.Penduduk terpaksa menanam ubi kayu, keladi dan keledek. Perusahaan tempatan didirikan yang menghasilkan barangan seperti minyak masakan, sabun, gula, kertas, tali dan benang.

3. Kesan Sosial

- Sistem pendidikan Jepun menanam sifat kerajinan kepada para belia terutamanya kaum Melayu.Walau bagaimanapun, sistem pendidikan Jepun telah menanamkan rasa benci masyarakat setempat terhadap Jepun. Bahasa Jepun dijadikan sebagai Bahasa Pengantar di semua sekolah. Perasaan taat setia dan kepatuhan kepada Maharaja Jepun diberi penekanan.

- Ekoran penindasan oleh Jepun, ramai orang Cina melarikan diri ke pinggir hutan.Mereka mendirikan petempatan dan menjalankan kehidupan seharian. Ini mewujudkan masalah setinggan di Tanah Melayu.Hal ini juga menyebabkan mereka menyertai PKM.

- Kaum Melayu dan India diberi layanan baik tetapi ramai di antara mereka juga dihantar ke siam untuk membina Jalan Kereta Api Maut. Akibatnya ramai yang terkorban akibat seksaan dan jangkitan penyakit.

- Kebuluran akibat kekurangan makanan semakin berleluasa dalam kalangan penduduk tempatan. Bekalan makanan seperti beras tidak dapat diimport dari Burma dan Siam akibat peperangan.

- Taraf kesihatan telah merosot akibat merebaknya penyakit tropika seperti beri-beri, taun dan malaria.Ubat-ubatan hanya untuk askar Jepun sahaja.

Kesimpulan (2m)

Dasar Politik, ekonomi, sosial oleh pemerintahan Jepun di Tanah Melayu menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu berada dalam kesengsaraan. Jepun telah menyerah kalah pada tahun 1945 apabila pihak tentera Berikat menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu digantikan dengan Pentadbiran Tentera British.

PERANAN RAJA

1. Huraikan peranan raja di Negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British 1874.

Pendahuluan (3/2 markah)

Sebelum campur tangan British di Perak pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. Selepas Islam bertapak, gelaran raja bertukar menjadi sultan dan dianggap sebagai ‘Amirul Mukminin’ atau pemimpin bagi orang mukmin. Kerajaan-kerajaan yang menerima warisan Kesultanan Melaka seperti Johor, Pahang, Perak dan Kedah mengekalkan gelaran sultan sehingga abad ke-19. Begitu juga Kelantan dan Terengganu. Negeri Sembilan menggunakan gelaran Yamtuan Besar manakala Perlis mengekalkan gelaran Raja. Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini mempunyai peranan luas dalam bidang politik, ekonomi dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.

Isi (20 markah)

i. Politik ( 9 markah )

a. Ketua kerajaan

Ø Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah.

b. Melantik pembesar

Ø Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri, iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.

Ø Sehingga tahun 1874 di Perak, jawatan Bendahara dipegang oleh keluarga diraja. Jawatan Temenggong dijawat oleh pembesar daerah Kota Lama, Kuala Kangsar. Tiada ketetapan dibuat mengenai jawatan Orang Kaya Besar dan jawatan Menteri dipegang pembesar Larut. Pembesar Berlapan yang dilantik sultan ialah Maharaja Lela iaitu pembesar Pasir Salak, Laksamana pembesar Durian Sebatang, Sri Andika Raja pembesar Ulu Perak, Shahbandar pembesar Daerah Bandar di Hilir Perak, Panglima Kinta iaitu pembesar daerah Kinta, Panglima Bukit Gantang, Sri Agar DiRaja pembesar Kampong Gajah dan Imam Paduka Tuan, iaitu satu jawatan dalam pentadbiran agama Islam negeri. Sementara di Selangor pula beberapa jawatan pembesar yang dilantik oleh sultan ialah Penggawa Permatang, Penggawa Tua, Penghulu Aru dan Orang Kaya Kechil.

Ø Sultan juga melantik pembesar-pembesar daerah menerusi sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Di dalam surat tauliah itu dinyatakan nama daerah yang dikurniakan tetapi tidak ditentukan butir-butir sempadannya. Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan pembesar tadi ketiadaan waris.

c. Sultan menentukan hubungan diplomatik

Ø Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika tidak ditandatangani oleh sultan. Selain itu, ia juga memerlukan tandatangan 12 orang pembesar. Kebimbangan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu menjadikan hubungan sultan dengan para pembesar kian rapat. Kehadiran British di Perak pada tahun 1874 membawa kepada perjumpaan-perjumpaan antara sultan dengan para pembesar.

Ø Namun demikian, ada juga pembesar yang menentang sultan secara halus tidak hadir dalam pertemuan seumpama ini. Misalnya pada tahun 1875 pentadbir British telah bersusah payah untuk mendapatkan tandatangan pembesar-pembesar Perak yang tidak hadir di Pangkor dalam tahun 1874 untuk menandatangani persetiaan Melayu-Inggeris itu.

d. Sultan berperanan sebagai ketua pertahanan

Ø Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar. Sepanjang tempoh tahun 1830 an-1870an Negeri-negeri Melayu tidak terlibat dalam peperangan dengan pihak luar yang serius atau ancaman perang kecuali di Naning. Kedatangan British juga tidak menggunakan tentera yang besar, hanya menggunakan tentera Negeri-Negeri Selat sahaja.

Ø Oleh yang demikian, peranan sultan sebagai ketua tentera tidak menonjol pada masa ini. Malah perang saudara yang berlaku antara tahun pertengahan abad ke-19 banyak melibatkan perang saudara antara pembesar-pembesar. Hanya di Pahang berlaku pemberontakan seorang pembesar tetapi sultan telah mengarahkan pembesar lain untuk menamatkan pemberontakan tersebut.

ii. Ekonomi ( 5 markah )

Ø Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Contohnya, Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) daerah Kelang daripada Raja Mahadi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

Ø Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contohnya di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

iii. Sosial ( 6 markah )

a) Lambang dan memelihara perpaduan negeri

Ø Di Negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 terdapat beberapa faktor yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Di dalam sesebuah negeri, selain Negeri Sembilan terdapat pelbagai kebudayaan yang diamalkan oleh rakyatnya. Pembesar-pembesar daerah merupakan pusat kuasa tempatan. Tentangan sering berlaku dalam kalangan mereka dan mengganggu pentadbiran pusat. Malah mereka sering juga menentang sultan dan ada kalanya menentang pelaksanaan perintah raja di daerah mereka.

Ø Namun demikian, untuk menjaga kepentingan perdagangan, pertahanan negeri dan ketenteraman dalam satu kawasan yang lebih luas dari sebuah daerah memaksa mereka tunduk kepada sultan. Mereka tidak bersedia untuk memusnahkan kesultanan itu sendiri, walaupun pertentangan dan perebutan takhta sering berlaku dalam kalangan pembesar. Mereka melihat tidak ada satu sistem lain sebaik sistem beraja yang diamalkan.

Ø Kedudukan sultan sebagai lambang perpaduan diperkukuhkan dengan baginda diberi kekeramatan dan kuasa-kuasa sakti. Antaranya, baginda dikatakan berdarah putih, menggunakan lambang-lambang kebesaran seperti pakaian dan peralatan berwarna kuning, memiliki alat-alat muzik sendiri seperti nobat, nafiri, seruling dan terumpet. Alatan lain seperti kayu gamit, puan naga, taru, kemala, surat chiri, cop halilintar, ubor-ubor dan lain-lain.

Ø Selain itu, terdapat juga senjata-senjata seperti pedang, tombak dan keris panjang serta penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana yang dikhaskan untuk sultan dan kerabatnya. Semua hak-hak keistimewaan ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

(b) Ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu

Ø Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.

Ø Hanya sedikit sahaja istiadat yang dihadiri oleh sultan sebagai pemimpin rakyat. Peranannya tidak begitu aktif. Upacara-upacara besar dalam masa pemerintahan baginda ialah hari pertabalan dan pemakaman. Pada masa ini pembesar dan rakyat jelata akan berhimpun. Pada masa perayaan besar tahun Islam seperti Hari Raya Puasa, sultan akan mengadakan majlis jamuan.

Kesimpulan (2/3 markah)

Kesimpulannya, sultan memainkan peranan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Peranan Sultan jelas dominan di Negeri-negeri Melayu sehingga pengenalan sistem Residen pada tahun 1874 di Perak, seterusnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Perlaksanaan sistem Residan telah menjejaskan kedudukan dan kuasa sultan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Kuasa sultan kini hanya terhad dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja, sementara semua kuasanya yang lain dibolot oleh Residen Inggeris. Dominasi Inggeris terhadap kuasa Sultan kemudiannya telah mencetuskan konflik kuasa diikuti dengan penentangan dalam kalangan pembesar dan orang tempatan di Tanah Melayu.

Sunday, May 6, 2012

DASAR PENGILHAKAN

Huraikan dasar pengilhakan British di India dan Perancis di Vietnam pada abad ke-19.
A. PENGENALAN
a. Pengilhakan merupakan suatu proses penguasaan Barat ke atas negara-negara luar demi memenuhi keperluan politik dan ekonomi mereka.
b. Di India, British telah melaksanakan dasar pengilhakan dengan jayanya melalui tiga zaman yang berbeza-beza. Zaman Lord William Bentinck berlaku pada tahun 1824-1835, zaman Lord Ellenborough tahun 1836-1846 dan zaman Lord Dalhousie berlaku pada tahun 1846-1856.
c. Manakala di Vietnam, Perancis juga telah melaksanakan dasar yang melibatkan beberapa kawasan seperti Tourane dan Saigon, Tongking dan Annam. Melalui dasar tersebut akhirnya British berjaya menguasai India manakala Perancis berjaya menduduki Vietnam.
B. ISI
a. Pengilhakan British ke atas India.
1. Dasar pengilhakan Lord William Bentinck (1824-1835)
i. Semasa Lord William Bentinck menjadi Gabenor Jeneral India, beliau telah melakukan ugutan ke atas pemerintah tempatan dan akhirnya telah berjaya mengilhakan beberapa buah wilayah seperti Cachar, Coorg dan Mysore.
ii. Lord William Bentick telah berjaya menguasai Cachar apabila rajanya meninggal dunia tanpa meninggalkan waris. Keadaan menjadi lebih mudah kerana adanya permintaan daripada penduduk tempatan agar negerinya diperintah oleh British.
iii. Di Coorg dan Mysore beliau menggunakan alasan penyalahtadbiran tempatan untuk menjalankan pentadbiran dengan adil dan saksama. Penduduk tempatan juga dikatakan menyokong beliau untuk memerintah negeri tersebut.
iv. Manakala di Jaintia pula, pengilhakan berlaku apabila rajanya enggan menyerahkan kembali penculik rakyat Inggeris kepada British.
2. Dasar pengilhakan Lord Ellenborough (1836-1846)
i. Sepanjang pemerintahan beliau beberapa wilayah telah berjaya diletakkan di bawah penguasaan British, antaranya wilayah Sind dan Gwalior.
ii. Sejak tahun 1809, Sind telah menjalinkan hubungan dengan British. Pada tahun 1823 satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sind dan British. Hasil perjanjian ini, pedagang dan saudagar British dibenarkan menggunakan sungai dan jalan raya tetapi kapal dan tentera bersenjata tidak boleh menggunakan negeri tersebut.
iii. Syarat ini telah dicabuli semasa peperangan Afgan, Lord Auckland telah mengarahkan tenteranya berbaris melalui Sind.
iv. Ellenborough berhasrat merampas wilayah Sind, lalu membuat beberapa tindakan ke atas pemerintah tempatan. Ekoran itu, Charles Napier telah dihantar untuk menyiasat. Satu perjanjian baru telah dibuat dengan Amir-Amir di Sind. Mereka telah dipaksa supaya menyerahkan bahagian yang lebih besar di wilayah mereka serta melepaskan hak mereka untuk membuat wang mereka sendiri. Hanya mata wang British diakui sah.
v. Tindakan tersebut telah menyebabkan Amir-Amir Sind marah dan bertindak menyerang residen British. Namun Amir-Amir ini berjaya ditewaskan dalam peperangan di Miani dan Dabo. Akhirnya Sind berjaya dirampas dan diletakkan di bawah jajahan British di India.
vi. Ellenboroug juga telah berjaya mengilhakan wilayah Gwalior dan Paniar melalui Kaedah Undang-Undang Lesap Waris apabila berlaku kematian ke atas Dhulat Kao Sindhia yang amat digeruni.
3. Dasar pengilhakan Lord Dalhousie (1846-1856)
i. Sepanjang penguasaan beliau, Lord Dalhousie telah berjaya mengilhakan beberapa buah wilayah di India melalui tiga kaedah iaitu ‘Hak Menakluk Kuasa Agung’, ‘Undang-Undang Lesap Waris’ dan ‘Kebaikan Untuk Diperintah’.
ii. Melalui ‘Hak Menakluk Kuasa Agung’, Dalhousie telah mengisytiharkan perang ke atas kaum Sikh di Gujerat. Akhirnya wilayah Punjab berjaya diilhakkan.
iii. Lord Dalhousie juga dilihat paling berjaya dalam pemerintahannya apabila banyak wilayah India berjaya diletakkan di bawah penguasaannya melalui kaedah ’Undang-Undang Lesap Waris’ atau dikenali dengan ‘Doctrin of Lapes’. Menurut Doktrin ini, mana-mana pemerintah yang tidak meninggalkan waris keturunannya selepas mangkat, negeri atau wilayah itu akan jatuh ke bawah kuasa agung dengan sendirinya. Dalhousie tidak mengiktiraf hak seseorang pemerintah untuk melantik seorang waris yang bukan keturunannya. Di Jhansi misalnya, perlantikan anak angkat sebagai pewaris dianggap tidak sah oleh Dalhousie. Beberapa wilayah lain yang berjaya diilhakan melalui kaedah ini ialah Satara, Jaitpur, Baghat, Samalpur dan lain-lain.
iv. Manakala melalui kaedah ’Kebaikan Untuk Diperintah’, ianya dilaksanakan atas alasan penganiayaan, kezaliman, dan ketidakadilan politik tempatan. Misalnya Qudh telah diletakkan di bawah naungan SHTI. Pentadbiran Qudh asalnya dikuasai oleh Nawab Khan yang sentiasa berada dalam keadaan huru-hara dan penuh dengan amalan rasuah. Dalhousie bertindak dengan membuat perjanjian dengan Qudh yang akhirnya meletakkan Qudh di bawah penguasaan SHTI, manakala pemerintahnya Nawab dibenar mengekalkan gelaran dan dibayar 15 juta rupee. Apabila Nawab enggan menerima dan menandatangani perjanjian tersebut, Dalhousie telah bertindak mengilhakan wilayah tersebut atas alasan penyelewengan pemerintah tempatan.
b. Pengilhakan Perancis ke atas Vietnam
1. Pengilhakan Tourane dan Saigon.
i. Semasa pemerintahan Maharaja Gia Long di Vietnam, baginda telah mengadakan hubungan yang baik dengan kuasa Barat khususnya Perancis. Malah, beliau telah melantik Bishop Pigneau sebagai Menteri Besar kerajaannya. Baginda amat bertolak ansur dengan penganut agama Kristian walaupun baginda sendiri merupakan pengamal Kung Fu Tze yang setia.
ii. Selepas kemangkatan Maharaja Gia Long, pengganti-pengganti beliau tidak lagi menjalinkan hubungan yang baik dengan Perancis. Sebaliknya mereka telah bertindak melakukan kekejaman dan kezaliman terhadap mubaligh Kristian. Kemasukan mubaligh Kristian ke Vietnam telah disekat sama sekali terutama semasa pemerintahan Maharaja Mihn Mang.
iii. Ekoran daripada tindakan pemerintah Vietnam itu telah menyebabkan wujudnya permusuhan di antara Vietnam-Perancis. Permusuhan ini sampai ke kemuncak semasa Vietnam berada di bawah pemerintahan Maharaja Tu Duc. Kemuncaknya pada tahun 1851 Paderi Augustin Schoeffler telah dibunuh dan diikuti pembunuhan Paderi Jeon-Louis Bernard pada tahun 1852. Paderi Sepanyol Bishop Diaz juga turut dihukum bunuh di Tongking atas alasan terlibat dalam pemberontakan tempatan menentang pemerintahan Maharaja Tu Duc.
iv. Peristiwa pembunuhan tiga orang paderi Kristian tersebut telah memaksa Raja Perancis Nepoleon III bertindak melakukan serangan ke atas Vietnam. Serangan tersebut telah menyebabkan seluruh selatan Vietnam jatuh ke tangan Perancis.
v. Akhirnya Maharaja Tu Duc mengaku kalah dan menandatangani satu perjanjian dengan Perancis pada bulan Jun 1862. Di antara syarat perjanjian tersebut ialah Vietnam terpaksa menyerah tiga wilayah ke Cochin-China kepada Perancis. Beberapa pelabuhan seperti Tourane, Balat dan Kaung Anh dibuka kepada perdagangan Perancis. Dalam aspek keagamaan pula, mubaligh Kristian dibenarkan menyebar agama Kristian di Vietnam. Manakala orang Perancis pula dibenarkan belayar di sepanjang Sungai Merah hingga ke Yunnan
2. Pengilhakan Tongking
i. Kepentingan dan desakan ekonomi telah menyebabkan Perancis terpaksa menduduki Tongking. Malah Perancis amat bimbang dengan persaingan kuasa-kuasa Barat lain seperti Jerman, Itali dan Amerika Syarikat. Penindasan Maharaja Tu Duc yang melampau telah memaksa Perancis menakluki Tongking. Proses tersebut dilakukan oleh beberapa pemimpin Perancis seperti Francis Garnier, Jean Dupuis dan Admiral Merie Jules Dupre.
ii. Pada tahun 1873 Jean Dupuis telah dilarang berniaga garam kerana telah menjadi perdagangan monopoli Mandarin Vietnam. Perancis bertindak balas dengan menguasai Hanoi. Gabenor Dupre kemudiannya menghantar tentera pimpinan Garnier ke Hanoi di samping memperkukuhkan kedudukan Perancis di Tongking. Walaubagaimanapun pengilhakan ke atas Tongking dibatalkan pada tahun 1874 setelah mendapat arahan daripada Perdana Menteri Perancis.
iii. Pengilhakan kali kedua ke atas Tongking dan Annam kemudiannya disempurnakan semasa pemerintahan Jules Ferry. Alasan utama yang digunakan oleh Ferry untuk mengilhakan Tongking ialah kerana berlaku kekacauan sosial dan politik. Pada bulan April 1882 angkatan laut Perancis tiba di Hanoi dan berjaya menakluki Tongking. Pada 25 Ogos 1883 Maharaja Hiep-Hoa terpaksa menandatangani persetiaan dengan Perancis. Ekoran daripada itu, wilayah Tongking dan Annam telah menjadi naungan Perancis yang sah.
C. KESIMPULAN
1. Jelas menggambarkan bahawa British dan Perancis telah berjaya mencapai matlamat politiknya. British berjaya menguasai India dengan kaedah pengilhakan iaitu melalui perang, doktrin dan alasan penyelewengan pentadbiran. Manakala Perancis pula berjaya mengilhakan Vietnam dengan alasan melindungi keselamatan mubaligh-mubaligh Kristian di Vietnam.
2. Campur tangan tersebut telah menyebabkan berlakunya pelbagai perubahan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial tempatan yang akhirnya membawa kepada kebangkitan dan penentangan masyarakat tempatan